Sunday, September 25, 2011

KURMA dan EMAS


       Seorang lelaki ingin bermusafir dalam jangka masa yang panjang. Dia mempunyai harta berupa emas yang tidak boleh dibawa bersama. Dia ingin mengamanahkan hartanya itu kepada seorang rakan karib yang sangat dipercayainya.
     Namun dalam hatinya masih ada keraguan akan kejujuran kawan karibnya itu. setelah berfikir panjang, dia mendapat satu helah. Dia memasukkan emasnya ke dalam sebuah bekas yang bertutup. Emas diletakkan di letakkan di bawah, manakala bahagian atas dipenuhi dengan buah kurma.
     "Sahabatku, aku ingin meminta bantuanmu untuk menjaga kurma ini sepanjang aku bermusafir," kata lelaki itu kepada rakannya.
     "Tiada masalah bagiku. Berapa lama agaknya engkau bermusafir?" tanya rakannya itu. "Lebih kurang enam bulan." 
     "Lalu sahabatnya berkata... Baiklah. Akan ku jaga amanahmu ini, insyaAllah."

     Suatu malam, isterinya sangat ingin makan buah kurma. Oleh kerana hari telah larut malam dan tidak ada kedai yang dibuka, lelaki itu mengambil keputusan untuk membuka bekas yang diamanahkan oleh kawannya. "Akan ku ambil sebiji dua dan akan aku ganti semula esok hari," begitulah katanya dalam hati.
     Dia pun membuka bekas itu. Sesetengah buah kurma itu telah rosak kerana terlalu lama disimpan. Dia pun mengorek-ngorek ke bahagian bawah. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati adanya ketulan-ketulan emas di bahagian bawah! Melihat emas yang begitu banyak,timbul rasa tamak dalam dirinya. Semua emas itu diambilnya. "He,he,he.... dia ingat dia pandai menipu? Sekarang aku pula yang akan menipunya," begitulah dia menyangka.
     Minggu demi minggu, bulan demi bulan berlalu. Oleh kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, kawannya itu tidak dapat pulang pada masa yang dijangkakan. Setelah setahun kemudian,baru dia pulang. 
     Sebaik pulang, dia terus ke rumah kawannya untuk mengambil bekas yang diamanahkannya itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati emasnya telah hilang. Bekas itu hanya dipenuhi dengan buah kurma.
     "Mana emas aku?" tanya dia kepada kawannya itu. "Emas apa yang kau maksudkan?"." Emas yang ada dalam bekas ini,yang aku amanahkan kepada kau dulu". "Kau tidak meninggalkan emas. Kau hanya meninggalkan kurma. Bukankah itu yang kau katakan padaku?" Lelaki itu terdiam. Memang benar itulah yang dikatakan nya. Tetapi dia yakin bahawa memang sahabatnya itu telah pecah amanah. Siapa lagi kalau bukan dia yang telah membuka penutup bekas itu dan mengambil semua emas yang ada di dalamnya?
     Dipendekkan cerita, perkara itu pun di bawa ke mahkamah. " Tuan hakim,emas saya di dalam bekas yang diamanahkan kepada kawan saya telah hilang dicurinya," dakwa lelaki pertama.
     "Tidak tuan hakim, dia memberi amanah agar saya menjaga buah kurma bukannya emas," bantah kawannya.
     "Kalau begitu saya ingin melihat bekas itu beserta dengan buah kurma itu sekali!" perintah tuan hakim. Bekas itu pun ditunjukkan kepada tuan hakim.
     "Berapa lamakah buah kurma dapat disimpan dalam bekas ini tanpa rosak?" tanya hakim. "Lebih kurang enam bulan," jawab mereka hampir serentak. "Berapa lama engkau keluar bermusafir dan mula menyimpan bekas ini di rumah kawanmu?" tanya tuan hakim kepada lelaki pertama. "Setahun," jawabnya ringkas.
     "Kamu bersalah!" umum tuan hakim ditujukan kepada lelaki yang diamanahkan menjaga bekas kawannya itu." Kamu telah pecah amanah."
     "Saya bersalah? Apa bukti saya telah mencuri emas-emas itu?" tanya lelaki itu kebingungan. "Kamu berbohong. Cuba kamu lihat buah kurma yang ada di dalam bekas ini. Bukankah masih berada dalam keadaan yang baik? Itu tandanya kamu pernah membuka bekas ini,mengambil emas yang ada di dalamnya dan menggantikannya dengan kurma yang baru. Kurma yang disimpan setahun tentu sebahagian besarnya sudah  rosak."
     Setelah pencuri itu dibawa keluar oleh pengawal, lelaki itu tersenyum sambil berkata, "Syukur kerana orang yang mencuri telah ditangkap. Saya harap emas saya akan dikembalikannya."
     "Kamu mungkin dapat menyelamatkan emas kamu, tetapi kamu telah kehilangan maruah diri kamu," kata tuan hakim dengan tajam. "Mengapa?".. "Kamu juga tidak amanah ketika memberi amanah. Kamu juga hakikatnya berbohong. Kamu mengamanahkan emas tetapi kamu kata kurma! kamu juga bersalah," ujar tuan hakim.

     
     Pengajaran: Memberi dan menerima amanah perlu dibuat atas dasar keikhlasan. Jika kita tidak ikhlas ketika memberi amanah, orang yang menerimanya juga tidak akan ikhlas menjalankan amanah itu.

No comments:

Post a Comment